KUALA LUMPUR: Pemain No. 5 dunia, Celine Boutier dari Perancis dinobatkan sebagai juara pada Kejohanan Golf Maybank LPGA 2023, selepas mengetepikan bintang muda Thailand, Atthaya Thitikul menerusi penentuan play-off di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) dekat sini, semalam.
Kedua-dua pemain itu terikat dengan keputusan 21 di bawah par 267 yang memaksa penentuan play-off dilakukan di lubang 18 dan 15.
Selepas pertarungan play-off lebih dua jam berlangsung, Boutier, 30, akhirnya dinobatkan juara selepas mengatasi pemain No. 13 dunia, Athaya, 20, pada lubang 15 menerusi catatan birdie dalam play-off kesembilan.
Boutier yang kali pertama datang ke Malaysia melahirkan hasratnya untuk kembali ke negara ini, jika Jelajah LPGA diadakan pada tahun hadapan. – UTUSAN