Bidang komunikasi massa UiTM dirombak - Utusan Malaysia

Bidang komunikasi massa UiTM dirombak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bidang komunikasi massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal dirombak secara besar-besaran bagi menepati keperluan industri pada masa kini.

Rombakan tersebut merangkumi semakan semula terhadap tawaran jurusan termasuklah subjek-subjek pembelajarannya yang perlu dilakukan selepas tempoh lima tahun untuk disesuaikan dengan perubahan dan perkembangan bidang berkenaan.

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Prof. Madya Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman berkata, perubahan tersebut dijangka berkuat kuasa bagi pengambilan pada Mac atau Oktober tahun hadapan.

“Ketika ini pengurusan fakulti sedang menyu­sun rombakan sebelum dikemukakan kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang meminta perubahan itu dilakukan supaya memenuhi keperluan industri semasa.

“Susulan rombakan, dijangka ada perubahan pada nama program serta subjek pengajian. Bagaimanapun, rombakan tersebut hanya melibatkan akademik dan tidak menyentuh hal ehwal pentadbiran,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Ketika ini, UiTM menerusi FKPM menawarkan dua program pada peringkat diploma, sembilan jurusan di peringkat ijazah sarjana muda, empat program sarjana dan dua doktor falsafah (PhD).

Dalam pada itu, beliau menjelaskan keperluan terhadap rombakan dan perubahan tersebut berikutan persaingan dalam bidang komunikasi yang turut ditawarkan di institusi pengajian tinggi lain.

“Selain itu, perubahan dibuat selepas meneliti peranan dalam bidang kewartawanan dan penyiaran yang ketika ini dilihat overlapping antara satu sama lain sedangkan kedua-duanya saling memerlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya