Bersatu dibenar cabar SPRM sita akaun bank parti - Utusan Malaysia

Bersatu dibenar cabar SPRM sita akaun bank parti

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) peroleh kebenaran mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua akaun parti berkenaan, April lalu.

Dua akaun tersebut adaah  akaun sama pernah dibekukan agensi terbabiti sewaktu siasatan terhadap Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menyatakan, permohonan Bersatu melalui Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, sebagai pegawai awam Bersatu bukanlah sesuatu yang remeh atau menyusahkan malah boleh diubah melalui semakan kehakiman.

“Persoalan yang perlu diputuskan dalam kes ini ialah sama ada perintah sita itu boleh diubah melalui semakan kehakiman dan sama ada aduan mengenai sitaan berkait dengan akaun bank Bersatu berada dalam ruang lingkup peruntukan mahkamah jenayah.

“Jabatan Peguam Negara (pendakwaan) menghujahkan dengan merujuk beberapa kes bahawa kuasa siasatan adalah sesuatu yang tidak boleh diadili. Bagaimanapun, mahkamah ini mendapati, kes-kes yang dirujuk adalah undang-undang lapuk yang tidak lagi terpakai dalam kes-kes terkini.

“Mahkamah mendapati persoalan mengenai gangguan terhadap bidang kuasa jenayah tidak timbul. Oleh itu, berdasarkan alasan yang dinyatakan, mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak pemohon (Bersatu) bahawa kes prima facie telah berjaya dibuktikan dan berpihak kepada pemohon,” kata hakim berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 November untuk pengurusan kes semakan kehakiman itu.

SEMAKAN

Pada 29 Mei lalu, Muhammad Suhaimi sebagai pegawai awam Bersatu memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM membekukan akaun bank parti itu untuk siasatan.

Beliau menamakan Peguam Negara (ketika itu) Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.

Menurut afidavit difailkan Bersatu menyatakan, pada 19 April lalu, akaun CIMB dan AmBank miliknya disita tanpa membuat serahan perintah penyitaan tersebut di bawah Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pada 20 April lalu, SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyita dua akaun bank milik Bersatu bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

Menurut plaintif, tindakan SPRM membekukan kesemua akaun milik Bersatu secara salah berdasarkan tuduhan-tuduhan palsu, tohmahan dan fitnah jahat secara bersekongkol dengan pemimpin kerajaan untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap Muhyiddin.

Oleh itu, Bersatu memohon antaranya perintah untuk membatalkan perintah SPRM menyita akaun-akaun Ambank dan CIMB mengikut Seksyen 50 AMLATFPUAA 2001.

Ia juga memohon perintah supaya SPRM menyerahkan Perintah Penyitaan (yang didakwa salah) yang sehingga kini masih tidak pernah diserahkan kepada Bersatu walaupun diminta berkali-kali.

Parti itu turut memohon perintah supaya SPRM membebaskan keseluruhan akaun Bank Bersatu daripada sebarang kekangan, pembekuan dan selanjutnya perintah supaya CIMB Islamic Bank Bhd dan AmBank (M) Berhad membebaskan akaun berkenaan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN