JOHOR BAHRU: Semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diminta menawarkan tempat kepada lepasan sekolah yang layak melanjutkan pengajian bagi mengisi kekosongan sedia ada.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pada masa ini terdapat banyak kekosongan penempatan di IPTA bagi sesi akademik 2023/2024.
Walau bagaimanapun, katanya, tawaran akan tetap dibuat berdasarkan merit.
“Setiap universiti berbeza, jadi saya minta setiap universiti melihat para penuntut yang layak tetapi tidak mendapat tempat baru-baru ini untuk ditawarkan walaupun dia hanya lulus kelulusan asas. Ini adalah supaya tidak ada penuntut tercicir dan universiti juga beri peluang sekali lagi kepada mereka, tiada masalah kerana mereka telah layak mengikut merit.
“Saranan ini kerana kita ada banyak kekosongan seperti di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang ini, kapasiti 4,000 penuntut namun setakat ini hanya ada seramai 3,100 penuntut,” katanya selepas merasmikan UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang dan Hari Industri 2023, di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, di sini hari ini.
Beluau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, langkah tersebut dibuat bagi menarik lebih ramai golongan belia menyambung pengajian ke peringkat tertinggi.
“Kita tidak boleh longgarkan syarat, kemasukan tetap berasaskan merit tetapi ia tertakluk kepada setiap universiti. Kita harap ia dapat dilakukan segera agar mereka tidak ketinggalan silibus pembelajaran,” katanya.
UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang mula beroperasi sejak 1 Mei 2014 dengan memberi fokus terhadap dua bidang akademik utama, iaitu kejuruteraan dan pengurusan perniagaan (pengangkutan). – UTUSAN