Beri pinjaman wang tanpa lesen, lelaki didenda RM3,000 - Utusan Malaysia

Beri pinjaman wang tanpa lesen, lelaki didenda RM3,000

GOH Chun Wai (dua dari kanan) tiba di Mahkamah Majistret Tampin bagi didakwa atas pertuduhan memberi pinjaman wang tanpa lesen.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang lelaki didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Tampin di sini, selepas dia mengaku salah memberi pinjaman wang tanpa lesen di Gemas, bulan lalu.

Tertuduh, Goh Chun Wai, 27, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Berdasarkan pertuduhan, pada 7 September lalu, kira-kira pukul 5 petang, bertempat di sebuah rumah di Felda Jelai 3, Gemas, tertuduh telah didapati membantu pemberi pinjam wang dengan melanggar Sub Seksyen 5(1), Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951.

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 AA(1), APPW 1951 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada tarikh, masa dan lokasi yang sama, pengadu telah berminat dengan iklan pinjaman wang dan telah berurusan dengan individu dikenali dengan Nama Gai menerusi aplikasi WhatsApp.

Pengadu kemudian telah gagal membuat pembayaran balik pinjaman dan telah menerima ugutan serta amaran supaya membuat pembayaran balik pinjaman berkenaan.

Pengadu akhirnya membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan diri dan ahli keluarganya.

Hasil siasatan mendapati tertuduh tidak berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menjalankan aktiviti pinjam wang dan tertuduh didapati terlibat dalam menjalankan aktiviti pinjam wang tanpa lesen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi.

Muhammad Amirul dalam hujahannya memohon Majistret mempertimbangkan hukuman sewajarnya selain perkembangan kes seumpamanya di daerah ini yang semakin meningkat.

Katanya, barang-barang seperti rantai besi dan ibu kunci (padlock) yang begitu banyak dirampas dalam kereta tertuduh juga boleh dikaitkan dengan kes berkenaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN