LIPIS: Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, terkandung manifestasi harapan cukup tinggi oleh seluruh lapisan masyarakat selepas berjaya menempuh pelbagai cabaran politik dan pembangunan pasca pandemik Covid-19.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, antara cabarannya, suasana politik semasa serta barisan Kabinet yang cukup unik namun mempunyai tekad sama serta kesungguhan tinggi berasaskan kesedaran ke arah pembaharuan negara.
“Hakikatnya persediaan Belanjawan 2024 ini sudah mula diusahakan sejak awal 2023 lagi dengan mengambilkira pelbagai pandangan serta semua lapisan golongan rakyat.
“Saya melihat belanjawan kali ini bersifat komprehensif dengan mengutamakan kepentingan rakyat secara inklusif serta memperkasa ekonomi negara dalam pelbagai segmen,” katanya di sini hari ini.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM9.51 bilion untuk tahun depan meningkat sebanyak sebanyak 12.7 peratus berbanding 2023.
“Peruntukan ini merupakan landasan membawa satu tekad dan bukti kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang prihatin terhadap kebajikan dan keselamatan dengan menambahbaik infrastruktur rakyat khususnya di luar bandar,” katanya.
Selanjutnya beliau menjelaskan sebahagian belanjawan tersebut, KKR akan menumpukan bidang pembangunan kemudahan awam sebanyak RM2.8 bilion merangkumi RM100 juta untuk selenggara lampu jalan dengan pemasangan LED, kontraktor G1 hingga G4 (RM300 juta), 115 jurutera daerah (RM30 juta), projek membaikpulih (rawat) kawasan kemalangan tinggi dengan menaiktaraf lampu isyarat kepada lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan (RM50 juta).
Katanya, turut terlibat dalam komponen belanjawan kemudahan awam, iaitu kerja pemantauan, pencegahan, pembaikan dan pelaporan 2,000 buah cerun seluruh negara (RM563 juta) dan kerja pelebaran projek lebuhraya utara selatan (PLUS) (Sedenak-Simpang Renggam) daripada empat lorong kepada enam lorong (RM931 juta).
Ujarnya, harapan KKR supaya Belanjawan 2024 mampu membangunkan negara secara mampan sekali gus menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan, perniagaan dan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. – UTUSAN