Peruntukan Pendidikan Tinggi RM16.3 bilion

Belanjawan 2024: Peruntukan Pendidikan Tinggi RM16.3 bilion

BELANJAWAN 2024 juga menyediakan RM250 juta untuk menggantikan dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua universiti awam termasuk RM5 juta untuk melaksanakan projek pendigitalan hospital pengajar universiti. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi dinaikkan kepada RM16.3 bilion ringgit berbanding RM15.3 bilion pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menerusi Belanjawan 2024 juga menyediakan RM250 juta untuk menggantikan dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua universiti awam termasuk RM5 juta untuk melaksanakan projek pendigitalan hospital pengajar universiti.

“Aduan yang acap kali saya terima dalam Siri Temu Anwar bersama mahasiswa ialah masalah capaian internet yang lemah di universiti. Ini harus ditangani segera,”  katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Katanya, bagi meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan di institusi pendidikan tinggi (IPT), RM300 juta disediakan untuk menyelenggara dan membaiki prasarana di IPT serta menggantikan peralatan lama yang usang termasuk RM50 juta bagi perolehan peralatan di empat universiti teknikal Malaysia.

“Kerajaan akan terus merakyatkan ilmu dengan menggalakkan komuniti rentan seperti OKU, Orang Asli, ibu tunggal dan warga emas mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di kolej komuniti. 

“Sejumlah RM5 juta disediakan untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti seluruh negara,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan juga menyediakan RM 1 juta kepada setiap universiti awam untuk memperhebat pelaksanaan Program Pengupayaan Komuniti MADANI dan Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan mendaya upaya usahawan setempat.

Beliau juga mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi penubuhan pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia. 

“Malaysia perlu bergerak pantas untuk menerajui bidang tujahan masa hadapan selari dengan ledakan transformasi digital global. Inovasi dan bakat digital perlu diperkasakan khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya