Bekas tentera didakwa bunuh isteri berdepan hukuman gantung

Bekas tentera didakwa bunuh isteri berdepan hukuman gantung

TERTUDUH (empat dari kanan) dibawa ke mahkamah bagi berdepan tuduhan membunuh di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang bekas tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh isterinya 30 September lalu.

Tertuduh, Indera Zailan Mohamad Sani, 38, mengangguk faham sejurus pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Nor Haliza Md. Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Munirah Abu Bakar, 31, di sebuah rumah di No 2B, Batu 3/4 Jalan Padang Nyu, Arau antara pukul 10 malam pada 29 September hingga 6.45 pagi pada 30 September lalu.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Hari Prassaad Rao.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 November ini bagi sebutan semula kes berkenaan. 

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar, di sini, sekitar pukul 8.30 pagi dengan berpakaian serba hitam dan diiringi beberapa anggota polis. 

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang lelaki menikam mati isterinya dengan sebilah pisau di bahagian kiri dada wanita berkenaan dipercayai akibat cemburu dalam kejadian  di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, dipercayai telah terjadi pergaduhan terlebih dahulu antara suspek yang juga merupakan bekas anggota tentera dan isterinya iaitu seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Selepas menikam isterinya di ruang tamu rumah, suspek dikatakan telah membawa wanita berkenaan ke dalam bilik tidur utama dan menutup mangsa dengan selimut tebal seterusnya menghantar dua anak mereka ke rumah pengasuh.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, suspek juga turut menyerah diri di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis selepas menghantar anak-anaknya ke pengasuh. 

Kata Ahmad Mohsin, suspek turut mengaku membunuh isterinya itu malah terdapat juga kesan tikaman di bahagian dada mangsa sepanjang kira-kira dua sentimeter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN