Bekas penyelia Felda didakwa pecah amanah wang milik JKKR - Utusan Malaysia

Bekas penyelia Felda didakwa pecah amanah wang milik JKKR

MOHD. Nazrin Daud (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Tampin hari ini bagi didakwa atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang milik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) berjumlah keseluruhan RM31,500.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang bekas penyelia di Felda Bukit Jalor, Gemencheh didakwa di Mahkamah Majistret Tampin hari ini atas tujuh tuduhan pecah amanah wang dengan nilai keseluruhan RM31,500 milik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) pada bulan April lalu.

Tertuduh, Mohd. Nazrin Daud, 32, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang kepunyaan JKKR Felda Bukit Jalor di sebuah institusi perbankan di Gemencheh di sini.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman wajib penjara minimum enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebat dan juga denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Muhammad Amirul kemudiannya menawarkan wang jaminan sebanyak RM30,000 dengan berdasarkan jumlah keseluruhan tujuh pertuduhan membabitkan nilai wang pecah amanah yang dilakukan melalui cek.

Tertuduh yang kini bekerja sebagai pemandu peribadi dalam rayuannya memohon dikurangkan wang jaminan kerana mempunyai tanggungan dua orang anak.

Majistret kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes pada 16 November ini bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN