LIPIS: Bekas home guard (pengawal kawasan) era Darurat 1948, Mat Ariffin Mat Deris, 114, paling tua di negara ini meninggal dunia pada pukul 5.30 petang semalam di Kampung Tanjong Buluh di sini.
Anaknya, Zulkifli, 50, berkata, ayahnya meninggal dunia di rumahnya akibat sakit tua apabila kesihatannya mula terjejas sejak tiga bulan lalu.
“Keadaan ayah begitu tenat sejak dua hari lalu dan kami ahli keluarga di sini dan saudara-mara dari Kelantan mula berkumpul di sisinya sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir.” katanya di Kampung Tanjong Buluh di sini malam semalam.
Utusan Malaysia pada 26 Ogos lalu menyiarkan kisah perjuangan Mat Ariffin semasa bertugas sebagai homeguard menentang Komunis di Sungai Golok dan Pasir Mas, Kelantan bermula era Darurat 1948.
Sejarah pembabitan Allahyarham sebagai homeguard bermula era Darurat 1948 dan kemudiannya sebagai anggota polis di Balai Polis Meranti berdekatan Pasir Mas sebelum negara merdeka.
Allahyarham bertugas mengawal kawasan kampungnya ketika ancaman Komunis di Kampung Kuin Merah, Rantau Panjang dan Kampung Banggul Cik Wan berdekatan Pasir Mas sekitar 1950-an.
Mat Ariffin mempunyai dua isteri, 13 anak berusia antara 45 hingga 76 tahun dan 40 cucu menamatkan tugasnya sebagai home guard setelah pasukan itu dibubarkan pada 1 Julai 1959 apabila pengganas komunis yang berjuang secara gerila meletakkan senjata.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, arwah menjadi salah seorang daripada anggota keluarga angkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis kerana mengenang jasanya ketika berkhidmat sebagai homeguard.
“Allahyarham Mat Ariffin antara bekas homeguard paling tua di negara ini di samping empat orang rakannya lagi yang berusia antara 80 hingga 100 tahun masih hidup tinggal di Kampung Tanjong Buluh, Lipis.
“Mereka merupakan wira negara yang berjuang semasa era Komunis pada 1948 sehingga 1959. Oleh itu kami menjadikan keempat-empat bekas homeguard ini sebagai keluarga angkat IPD Lipis,” katanya.
Ujarnya, Mat Ariffin dianugerahkan sijil penghargaan oleh bekas Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena sambutan Hari Polis Ke-214 peringkat negeri di Kuala Lipis pada 2021. – UTUSAN