Bekas ADUN Jeram Padang letak jawatan dalam MIC - Utusan Malaysia

Bekas ADUN Jeram Padang letak jawatan dalam MIC

DATUK L. MANICKAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L. Manickam hari ini mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua MIC Bahagian Jempol serta sebagai ahli parti itu.

Surat peletakan jawatan beliau itu juga telah diserahkan kepada Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran hari ini.

Menerusi surat itu yang disiarkan Manickam dalam akaun Facebook miliknya hari ini, beliau memaklumkan, kepemimpinan MIC Kebangsaan mengetahui punca dan sebab peletakan jawatannya itu.

Bagaimanapun bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan itu memberitahu terdapat dua sebab utama keputusan tersebut diambilnya, termasuklah berkaitan MIC tidak bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

“Kami dimaklumkan dalam Mesyuarat CWC bahawa BN tidak menawarkan kerusi untuk bertanding dan UMNO pula tuntut DUN Jeram Padang, atas sebab itu saya juga turut menyokong keputusan MIC untuk tidak bertanding.

“Tetapi pada kemudian hari saya dimaklumkan bahawa UMNO tidak pernah tuntut DUN Jeram Padang jadi saya dan MIC Negeri Sembilan telah membuat rayuan untuk MIC bertanding sekurang-kurangnya di Jeram Padang tetapi tidak dipertimbangkan, saya sangat kecewa dengan situasi ini,” katanya.

Pada PRN lalu, Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi DUN Jeram Padang menerusi calonnya dari UMNO, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir.

Manickam turut memberitahu, sebab kedua beliau meletakkan jawatan adalah kerana kecewa dengan tindakan Setiausaha Agung MIC yang meminta MIC Bahagian Jempol untuk mengadakan mesyuarat perwakilan sekali lagi atas sebab tiada korum.

“Saya memohon maaf atas keputusan yang terpaksa saya ambil ini, saya memang berasa berat hati untuk meninggalkan MKC yang telah menjadi rumah kedua saya sejak 45 tahun lalu,” katanya yang telah menjadi ADUN Jeram Padang selama dua penggal sejak tahun 2013.

Bekas Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, Datuk VS Mogan telah dilantik sebagai Pengerusi MIC Negeri Sembilan menggantikan Manickam pada minggu lalu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya