KUALA LUMPUR: Seorang bayi Palestin yang baru menginjak usia 24 bulan, Hamza Mahmoud Malaka menjadi yatim piatu sekelip mata selepas keluarganya terkorban dalam serangan Israel di Gaza.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Eksekutif (CEO) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO), Ayman Hussein berkata, Hamza satu-satunya mangsa terselamat dalam tragedi menyayat hati itu.
Katanya, keadaan di Gaza memilukan kerana setiap hari akan ada warga Palestin dibunuh oleh pihak Israel.
“Di tengah-tengah perang dan kemusnahan di sini akibat pengeboman oleh Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza, ada seorang kanak-kanak yang kehilangan tempat bergantung kerana serangan berterusan tanpa sebarang amaran oleh rejim Zionis.
“Hamza merupakan satu-satunya mangsa terselamat daripada tragedi berdarah itu, dia bukan sahaja kehilangan ibu bapa sahaja tetapi ahli keluarganya yang lain akibat daripada tindakan Israel.
“Hari ini, Hamzah seorang diri tanpa keluarga. Ini bermakna bayi tersebut perlu mengharungi perjalanan hidupnya seorang diri pada usia yang sangat muda, terpaksa berdepan cabaran untuk beradaptasi dengan perkara ini memandangkan dia kehilangan keluarga yang benar-benar kisah dan sayangkannya,” katanya ketika dihubungi.
Perang Palestin Israel yang memasuki minggu ketiga kini merebak ke negara jiran dengan berbalas tembakan berlaku di sempadan Lubnan, Syria dan Iran manakala ketengangan antara pemimpin Mesir dan rejim Zionis terus meningkat.
Ketegangan juga dijangka terus memuncak selepas Amerika Syarikat (AS) meningkatkan kesiapsiagaan ketenteraan di rantau Asia Barat selain menghantar aset udara dan laut termasuk dua kapal pengangkut pesawat di laut Mediterranean sebagai tanda sokongan kepada Israel.
Ayman yang juga pelaksana bagi Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) berkata, beliau yakin rakyat Palestin tidak akan tunduk kepada rejim Zionis tetapi terus mempertahankan tanah air dan hak mereka.
“Konflik dengan Yahudi sudah berlarutan lebih 70 tahun, mereka sudah merampas tanah-tanah milik kami. Banyak yang sengsara, kehilangan tempat tinggal dan kehilangan orang tersayang tetapi warga Palestin tetap akan terus mempertahankan Gaza.
“Penting untuk kita fahami keadaan di sini sangat kompleks kerana ia melibatkan faktor politik, kemanusiaan dan keselamatan. Bagi saya, semua organisasi dan kerajaan seluruh dunia mesti melibatkan diri dalam usaha untuk menoktahkan penderitaan dialami oleh rakyat Palestin serta membebaskan masjid Al-Aqsa,” katanya. – UTUSAN