Bapa, teman wanita mengaku bersalah abai anak - Utusan Malaysia

Bapa, teman wanita mengaku bersalah abai anak

R. THAYALAN dan Mageswari dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan mengabaikan dan mendatangkan kecederaan kepada anaknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang bapa dan teman wanitanya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana mengabaikan anak lelakinya sehingga mengalami kekurangan zat sejak Julai hingga Oktober tahun ini.

Thayalan, 37,  dan K. Mageswari, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa mengabaikan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu di sebuah rumah di Taman Pulai Jaya, di sini antara Julai hingga 12 Oktober lalu sehingga mengalami kekurangan zat makanan atau mulnutrisi.

Dalam pertuduhan berasingan, Mageswari turut didakwa mendatangkan kecederaan fizikal pada tangan kanan kanak-kanak terbabit, namun dia mengaku tidak bersalah.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Theviya dan Abdul Umar Faiz Abdul Kohar, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Pihak pendakwaan mencadangkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Dalam rayuannya, bapa kandung mangsa mendakwa dia hanya memperoleh gaji RM1,600 sebagai pemandu van kilang, selain perlu membayar sewa rumah dan bil perubatan ibunya yang menghidap kencing manis dan darah tinggi, manakala Mageswari pula merayu jaminan dikurangkan kerana tidak mempunyai pekerjaan dan mempunyai seorang anak berusia tiga tahun.

Hakim membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Terdahulu, polis menahan pasangan itu susulan laporan yang diterima pada pukul 4.13 petang 13 Oktober lalu selepas menerima maklumat daripada seorang wanita yang memaklumkan seorang kanak-kanak dikurung di dalam bilik air dalam keadaan kurus serta tidak bermaya.

Pemeriksaan mendapati terdapat kesan pukulan baharu dan lama pada tubuh kanak-kanak itu yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN