B40, M40 diberi bantuan tunai apabila harga ayam, telur ikut pasaran - Utusan Malaysia

B40, M40 diberi bantuan tunai apabila harga ayam, telur ikut pasaran

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyelarasan semula harga ayam dan telur mengikut harga pasaran yang diselarikan dengan pemberian tunai kepada golongan B40 dan M40 mampu menyelesaikan isu rasionalisasi subsidi.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau membuat cadangan tersebut kerana punca masalah bekalan telur dan ayam baru-baru ini disebabkan kenaikan harga komoditi dunia apabila sumber makanan ayam, komoditi jagung dan kacang soya yang diimport meningkat berkali  ganda.

Menurut beliau, kerajaan telah membelanjakan subsidi kepada penternak sebanyak RM3.8 bilion hanya untuk subsidi ayam dan telur tetapi bekalan tetap ada masalah.

“Untuk solusi jangka panjang, saya mencadangkan kepada kerajaan supaya apabila harga komoditi dunia bagi makanan ayam meningkat lagi, kerajaan boleh mengambil kaedah dengan melaraskan semula harga siling runcit ayam dan telur mengikut kenaikan serta penurun harga pasaran komoditi dunia.

HARGA PASARAN

“Tetapi apabila kerajaan melaraskan kenaikan harga siling runcit ayam dan telur mengikut harga pasaran, kerajaan perlulah menjaga golongan B40 dan pertengahan M40 yang terjejas akibat pelarasan ini dengan memberikan subsidi tunai ayam dan telur melalui ‘cash transfer’ terus kepada mereka.

“Sudah tentu jumlah subsidi yang diberikan ini juga perlu mengikut penurunan dan kenaikan selaras dengan harga siling runcit yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya yang berkongsi cadangan itu ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat minggu lalu.

Katanya, terdapat beberapa impak positif daripada kaedah pelarasan harga siling runcit serta sokongan pemberian subsidi terus kepada golongan sasar antaranya kestabilan kepada industri secara keseluruhan.

“Syarikat boleh berjalan dengan baik dan tidak ditutup, kerajaan boleh mendapatkan cukai hasil daripada keuntungan syarikat disebabkan perkembangan industri yang sihat.

“Pendapatan kerajaan boleh diagihkan dengan memperuntukan subsidi ayam dan telur terus kepada golongan B40 dan pertengahan M40 melalui cash transfer, negara juga memperoleh semula kadar 100 peratus self-sufficient.

“Negara tidak perlu bergantung kepada bekalan import ayam dan telur, negara dapat membangun serta mengukuhkan kedudukan keterjaminan makanan bagi industri ayam dan telur serta mampu mengeksport ke pasaran luar negara dan meyakinkan negara pengimport untuk membeli bekalan dari Malaysia,” katanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN