Asrama madrasah musnah dalam kebakaran - Utusan Malaysia

Asrama madrasah musnah dalam kebakaran

MUHAMMAD Faaiz Azhar Mohd. Yusof bersama kakitangan lain menunjukkan asrama Madrasah Taufiqiah, Kampung Bagan Pinang, Port Dickson yang musnah dalam kebakaran pagi tadi.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebuah rumah yang dijadikan asrama pelajar perempuan Madrasah At-Taufiqiyyah, musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Bagan 13, Kampung Bagan Pinang di sini pagi tadi.

Ketua Balai dan Penyelamat Port Dickson, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 11.30 pagi yang melibatkan sebuah rumah berukuran 20×50 kaki persegi.

“Pihak bomba telah dapat menyelamatkan bangunan asrama di bahagian belakang dan bangunan bersebelahan dengan memastikan api tidak terus merebak. 

“Seramai 17 orang pelajar perempuan yang berada di asrama berkenaan telah keluar menyelamatkan diri ketika kejadian sebelum pihak bomba tiba,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Jelasnya, operasi tamat pada pukul 12.30 tengah hari dan punca kejadian masih lagi disiasat.

Sementara itu, seorang kakitangan di madrasah berkenaan, Muhammad Faaiz Azhar Mohd. Yusof, 23, memberitahu, dia melihat asap berkepul keluar dari tingkap berhampiran penyaman udara di asrama berkenaan sebelum api lebih marak.

“Saya kemudian segera mengarahkan pelajar yang berada di dalam kelas yang terletak bersebelahan dengan asrama tersebut untuk segera keluar.

“Saya kemudian memaklumkan kepada kerani di madrasah berkenaan kebakaran itu yang kemudiannya menghubungi pihak bomba dan tidak sampai lima minit bomba datang memadamkan kebakaran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

KEADAAN sebuah asrama pelajar perempuan Madrasah Taufiqiah, Kampung Bagan Pinang, Port Dickson yang musnah dalam kebakaran pagi tadi.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

Dalam pada itu, pengasas madrasah terbabit, Mariyam Saad, 58, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian tersebut melalui panggilan telefon.

“Saya bersyukur semuanya selamat. Semua mereka akan ditempatkan di asrama di belakang yang masih kosong,” katanya yang memberitahu madrasah persendirian itu mempunyai 17 orang pelajar bermula tingkatan satu hingga empat manakala terdapat 22 orang pelajar peringkat dewasa serta warga emas.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya telah menghubungi pihak Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut susulan kejadian berkenaan.UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya