MUAR: Kegiatan sindiket penyeiudupan dan pengedaran arak tanpa cukai terbongkar dalam serbuan ke atas sebuah stor di Jalan Sengkang, Pagoh, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi, 23 Oktober lalu, sepasukan polis dari Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri bersama-sama Bahagian Siasatan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berjaya merampas pelbagai jenis arak tanpa cukai bernilai RM737,295.54.
“Dalam serbuan berkenaan seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan arak itu.
“Hasil serbuan turut merampas sebanyak 859 kotak arak pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai kastam dengan anggaran nilai keseluruhan RM 737,295.54.
“Turut dirampas sebuah lori yang dipercayai atas nama suspek,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Muar, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Raiz Mukhliz turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan penyeludupan serta terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan tersebut.
“Operasi berterusan akan dijalankan dalam mengekang dan membanteras kegiatan penyeludupan, khasnya di daerah Muar,” katanya. – UTUSAN