KOTA BHARU : Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyasarkan seramai 330,000 orang awam diberikan latihan dan pendedahan berkait ilmu kecemasan serta bencana sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan.
Ketua Pesuruhjayanya Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka terus menghulurkan bantuan awal jika sesuatu musibah berlaku dalam kalangan komuniti.
Menurutnya, sehingga Oktober ini, seramai 240,000 orang awam telah mendapat pendedahan serta latihan daripada APM.
“Dalam tempoh berbaki dua bulan lebih lagi, kita yakin dapat mencapai sasaran seramai 330,000 orang awam mendapat latihan asas serta pendedahan mengenai APM sehingga hujung tahun ini.
“Selain itu, kita juga berjaya mencapai sasaran seramai 13,000 orang telah menjadi anggota sukarelawan APM tahun ini berbanding sasaran awal iaitu sebanyak 10,000 anggota sukarelawan setiap tahun,” katanya pada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Himpunan Pasukan Institusi Pertahanan Awam 6.0 (HiPA 6.0) Kolej Komuniti Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Aminurrahim memberitahu, pihaknya berperanan menyebarkan ilmu berkait pertahanan awam kepada orang ramai bagi melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab, berkeperibadian tinggi, taat setia dan cintakan negara.
Katanya, semua elemen itu boleh diterjemahkan melalui khidmat sukarelawan APM.
“Kesedaran ini telah diserapkan di peringkat institusi seawal sekolah rendah melalui penubuhan Program Keselamatan Sekolah Rendah (PROKSPA), Tunas Pertahanan Awam (TUSPA), Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA), Pasukan Institusi Pertahanan Awam
(PISPA) serta Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA).-UTUSAN