Anwar arah percepatkan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah  - Utusan Malaysia

Anwar arah percepatkan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah 

PROJEK Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang sedang dalam pembinaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri  mengarahkan  pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dipercepatkanselepas  melihat  kemajuan yang perlahan di negeri itu berbanding di Sarawak. 

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain Kementerian Kewangan, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof juga ditugaskan untuk memastikan pembinaan lebuh raya itu tidak lagi tertangguh.

“Saya sudah memberitahu Kementerian Kewangan dan dipersetujui untuk disegerakan. Asalkan ada proses perolehan dan tender, maka, kerajaan lakukan ‘fast track’ di Sabah.

“Ini disebabkan projek Pan Borneo sudah berpuluh tahun tertangguh dan peruntukan ada. Jadi, oleh kerana kerajaan sudah janji kepada rakyat Sabah dan Sarawak, tiada alasan untuk kerajaan lengahkan,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, menurut beliau,  ketika  Kembara (Kenali Borneo) Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, perkara  dibangkitkan baginda  ialah mengenai Pan Borneo yang lebih bermasalah di Sabah dengan jalan yang teruk.

“Kadangkala, peruntukan disampaikan tetapi kelewatan dalam pelaksanaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal [Warisan-Semporna] mengenai kelewatan projek Pan Borneo Sabah untuk disiapkan, selain masalah bekalan air yang berterusan disebabkan isu ketirisan.

PRASARANA

Sementara itu, Anwar mengakui Malaysia lewat dalam pembangunan dan menaik taraf prasarana di sempadan Sabah serta Sarawak dengan Kalimantan di Indonesia, berbanding yang dilaksana negara jiran itu.

Katanya, sebanyak RM1 bilion diluluskan tahun ini bagi kerja naik taraf prasarana dan keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sabah dan Sarawak, dengan kementerian berkaitan sudah diarah untuk menyegerakannya.

“Saya setuju kita terlewat berbanding Indonesia yang sudah maju. Kalau ICQS mereka, lebih baik kerana kita agak lewat.

“Namun, saya sudah minta Timbalan Perdana Menteri 11 untuk membantu menyelaras khusus untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak, iaitu Projek Lebuh Raya Pan Borneo dan RM1 bilion untuk sempadan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) mengenai peruntukan RM1 bilion berkenaan yang belum diberi sepenuhnya bagi pembangunan dan naik taraf prasarana di sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, termasuk CIQS dan jalan raya, yang menyebabkan pembangunan di kawasan itu terbantut, berbanding Indonesia.UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya