Ancaman bom: Polis adakan dialog dengan pengurusan pusat beli-belah, hotel - Utusan Malaysia

Ancaman bom: Polis adakan dialog dengan pengurusan pusat beli-belah, hotel

KAMARUL ZAMAN MAMAT (dua dari kanan) menyampaikan beras sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor kepada seorang penerima di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis negeri ini akan mengadakan sesi dialog dengan pihak pengurusan pusat beli-belah dan hotel bagi meningkatkan aspek keselamatan premis terbabit ekoran panggilan ancaman bom, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dialog itu juga bertujuan untuk mengemas kini aspek keselamatan yang boleh ditingkatkan di premis masing-masing.

“Keadaan sudah tenang. Jadi, kita tak perlu panaskan lagi keadaan, yang penting kita ambil langkah pencegahan untuk tingkatkan aspek keselamatan termasuk memanfaatkan kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis-premis,” katanya  selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Deputi Komisioner M. Kumar.

Beliau berkata, pihaknya juga akan meningkatkan rondaan dan kawalan, khususnya di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan awam.

“Selain itu, kita juga akan meningkatkan kerjasama dengan agensi-agensi keselamatan premis berkenaan termasuk pengawal keselamatan di setiap pusat beli-belah dan hotel-hotel,” katanya.

Sebelum ini, beliau  mengesahkan bahawa ancaman bom yang diterima oleh dua premis, iaitu sebuah pusat beli-belah dan hotel di bandar raya ini adalah palsu.

Sabtu lalu, pusat beli-belah dan hotel berkenaan terpaksa meminta seramai lebih 9,000 pengunjung dan pekerja mengosongkan bangunan terbabit ekoran dakwaan menerima ancaman bom. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya