BENTONG: Semangat untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai mendorong sekumpulan anak muda di Felda Kemasul di sini menghasilkan replika keris.
Keris sinonim dengan jati diri orang Melayu malah dikaitkan dengan peradaban dan adat berbudaya.
Namun keris juga senjata agung dalam dunia Melayu malah sebenarnya rupa bentuknya mampu menimbulkan perasaan gerun kepada musuh. Umumnya keris dibentuk dengan lekuk dan rekaan bersimpang siur yang menjadikannya unik.
Pencipta replika keris itu, Mohammad Sayuti Mohd. Khir berkata, keris antara elemen terpenting dalam budaya kebendaan di alam Melayu.
“Jadi, sempena PRK Pelangai kali ini, saya dan dua rakan membuat replika keris yang merupakan lambang kekuatan orang Melayu.
“Kami mengambil masa dua hari menyiapkan replika keris ini dengan menggunakan buluh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohammad Sayuti berkata, dia dan dua rakannya pertama kali membuat replika keris tersebut.
“Memang kami teruja, kos pun kami keluarkan sendiri sebanyak RM200. Ia bagi memeriahkan tempoh kempen PRK Pelangai kali ini,” katanya. – UTUSAN