Amizar tawar empat Ikhtiar Pelangai - Utusan Malaysia

Amizar tawar empat Ikhtiar Pelangai

AMIZAR Abu Adam menawarkan empat Ikhtiar Pelangai pada PRK DUN Pelangai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam menawarkan empat Ikhtiar Pelangai bertepatan dengan keperluan dan kehendak penduduk di kawasan tersebut.

Empat ikhtiar itu adalah Ikhtiar Pembangunan, Ikhtiar Pendidikan, Ikhtiar Ekonomi dan Ikhtiar Kebajikan.

Amizar berkata, kesemua ikhtiar tersebut merangkumi keperluan dan kemudahan asas yang diperlukan oleh penduduk DUN Pelangai yang kebanyakannya sudah pun berada di landasan pelaksanaan.

Di bawah Ikhtiar Pembangunan, beliau menggariskan beberapa perancangan termasuklah pembukaan stesen minyak, kemudahan perbankan, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Skim Tanah Rakyat (STR) kerajaan negeri bagi kawasan Felda, fasiliti golongan belia dan peningkatan infrastruktur luar bandar.

Bagi Ikhtiar Pendidikan, Amizar berhasrat melibatkan ramai anak muda dalam program latihan teknikal dan vokasional (TVET) selain merapatkan jurang pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan meningkatkan kualiti pendidikan pra-sekolah serta menaiktaraf kemudahan perpustakaan Simpang Pelangai.

“Bagi Ikhtiar Ekonomi pula, saya berhasrat menjadikan Pelangai sebagai pintu masuk utama dari Selatan menerusi aktiviti ekonomi di sempadan Pahang-Negeri Sembilan, mewujudkan pelancongan tani atau agro-tourism, memasarkan produk tempatan ‘Made In Pelangai’, memperluas Program Jaminan Kerjaya Yayasan Pahang dan melahirkan ramai usahawan muda.

“Manakala Ikhtiar Kebajikan pula, saya akan memperkasa Bantuan Prihatin Pahang (BPP) membabitkan pelajar dan anak muda, pelajar Tahun 1, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta pelajar-pelajar pengajian tinggi.

“Ikhtiar Kebajikan juga turut memberi tumpuan bantuan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuklah anak yatim, orang kurang upaya (OKU), Jemaah Haji DUN Pelangai, Food Rider, Bantuan Lesen Motor, ibu tunggal, nelayan, pemandu teksi, mualaf, warga emas dan ramai lagi,” katanya,” katanya di sini.

Beliau turut berhasrat mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), membina kemudahan perubatan dan rawatan.

Amizar menaruh keyakinan memimpin dan merealisasikan segala janji yang diberikan kerana sealiran dengan pentadbiran kerajaan Persekutuan.

“Kelebihan saya yang sealiran dengan kerajaan Perpaduan dan negeri memberikan kekuatan kepada saya bagi merealisasikan hasrat dan ikhtiar untuk dikongsikan bersama-sama penduduk di DUN Pelangai,” katanya.

Beliau berharap agar dapat diberikan peluang bagi menjadikan manifestonya suatu kenyataan demi kesejahteraan dan manfaat penduduk di DUN Pelangai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya