'Ali baba' lesen perniagaan kepada warga asing, N. Sembilan ambil tindakan - Utusan Malaysia

‘Ali baba’ lesen perniagaan kepada warga asing, N. Sembilan ambil tindakan

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti kaedah dan tindakan yang boleh diambil dalam isu lambakan peniaga asing serta lesen peniaga tempatan di ‘ali baba’ kan khususnya yang berlaku di daerah ini dan Nilai.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, masalah yang berlaku tersebut perlu diberikan perhatian serius khususnya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana ia tidak boleh dibiarkan terus berleluasa.

“Dalam laporan yang diterima, perniagaan yang dijalankan mempunyai lesen yang sah namun yang menjalankan pula ialah orang asing yang menyewa lesen-lesen tersebut.

“Ada yang ‘ali baba kan’ lesen mereka, itu yang berlaku, sepatutnya mereka (pemilik perniagaan tempatan) perlu berada situ, di premis perniagaan mereka, tetapi tidak lagi, mereka hanya lesen atas nama mereka dan hanya mengaku itu mereka yang punya apabila sesuatu berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Aminuddin juga meminta PBT yang terbabit supaya melihat semula kelulusan lesen yang dikeluarkan kepada para peniaga.

“Peniaga-peniaga ini kadang kala ada tiga lesen yang diberikan kebenaran, sekarang kami mahu PBT untuk lihat semula kelulusan yang diberikan supaya kita dapat kawal peniaga-peniaga asing yang berniaga.

“Sebagai contoh juga, mereka ada lesen (berniaga barangan) telekomunikasi tetapi ada pula jual runcit, jual pakaian dalam satu premis, kita mahu tengok siapa sebenarnya disebalik mereka yang menyewakan (lesen),” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut mempersoalkan terdapatnya persatuan-persatuan peniaga yang berdaftar yang ahlinya terdiri daripada warga asing dari sesebuah negara.

“Dalam hal ini, kami juga dimaklumkan ada persatuan-persatuan peniaga yang (nama) menyebut negara yang mereka berasal, kita tidak mengiktiraf tetapi ia mendapat kelulusan daripada ROS, ini perlu diberikan perhatian,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN