Ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak diugut sokong kerajaan – Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak diugut sokong kerajaan – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengisytihar sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan turut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan anggota Kabinet.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kabinet dimaklumkan pada pagi tadi bahawa ahli parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu tidak berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara tersebut.

“Ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak pun menelefon atau bertemu dengan Perdana Menteri, apatah lagi mengadakan perbincangan mengenai sokongan beliau kepada Kerajaan Perpaduan atau beliau sendiri keluar partinya.

“Perkara ini adalah atas kehendak peribadi beliau sendiri,” kata beliau selepas pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Semalam, Iskandar Dzulkarnain mengumumkan  menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan serta-merta.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Bagaimanapun, susulan tidakan tersebut  PN mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal menyokong kerajaan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, pada 1 Oktober lalu, wakil rakyat itu dipercayai dibawa bertemu dengan seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media berkenaan.

Katanya, malah sebelum itu pada 26 September lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar berkenaan juga didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN