BENTONG: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini membuat aku janji menyokong kerajaan perpaduan Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Difahamkan, aku janji itu dibuat ekoran dakwaan empat ADUN BN akan melompat parti jika calon Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Wan Rosdy berkata, aku janji itu dibuat semua ADUN BN dan PH pada hari ini tanpa pengetahuannya.
“Mereka buat sendiri tanpa berbincang dengan saya sebab mereka tahu bahawa isu ini sengaja dicipta supaya pemikiran rakyat menjadi goyang dan mengalih sokongan walhal ini tidak benar.
“Tetapi alhamdulillah saya berterima kasih kepada semua ADUN BN dan PH yang secara spontan pada hari ini tanpa pengetahuan saya pun menyatakan dan menyuarakan sokongan mereka kepada kepimpinan saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pada Jualan Makmur Pahang di Dewan Serbaguna Kampung Chemomoi di sini hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan poster yang tular dalam media sosial memaparkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bakal diisytiharkan sebagai Menteri Besar Pahang sekiranya PN menang dalam PRK DUN Pelangai.
Difahamkan juga terdapat khabar angin menyatakan sekiranya PN menang di Pelangai terdapat empat wakil rakyat daripada BN akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri yang diterajui PN.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, dakwaan itu merupakan fitnah yang berniat jahat bagi mempengaruhi sokongan pengundi.
“Mereka sanggup buat apa sahaja untuk bercakap perkara yang menimbulkan persepsi dan sentimen kepada rakyat supaya mengubah fikiran mereka,” ujarnya. – UTUSAN