KUANTAN: Seramai 65 individu membabitkan pekerja warga asing dan pelanggan ditahan dalam Operasi Pusat Hiburan dan Noda membabitkan dua premis pusat hiburan di kawasan Pusat Perniagaan Sri Dagangan di Jalan Gambut di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mereka yang ditangkap membabitkan 49 warga asing dari Bangladesh, China, Thailand dan Vietnam yang merupakan pekerja premis hiburan masing-masing berusia antara 21 tahun hingga 49 tahun.
Menurutnya, polis juga membuat tangkapan terhadap 16 individu membabitkan warga tempatan berusia 21 tahun hingga 44 tahun.
“Berdasarkan serbuan di kedua-dua premis berkenaan, pihak polis membuat pemeriksaan dan dokumentasi terhadap 75 individu.
“Hasil ujian saringan awal mendapati, sembilan warga tempatan manakala seorang warga asing didapati positif dadah jenis Ketamin.
“Susulan daripada tangkapan itu juga, polis dapat menahan seorang lelaki tempatan mempunyai rekod dan masih dikehendaki bersabit kesalahan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Zahari berkata, serbuan itu dilakukan ke atas premis hiburan berkonsepkan KTV dan Open Pub yang dipercayai menawarkan khidmat pelayan wanita asing dari Thailand, China dan Vietnam.
Tambah beliau, polis merampas lima unit telefon bimbit pelbagai jenama, enam helai kain selempang, peralatan audio sistem, dokuman berkaitan perniagaan termasuk wang tunai berjumlah RM8,740.
“Kesemua tangkapan di kedua-dua premis itu akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen kerana penyalahgunaan pas lawatan sosial dan Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji pekerja tanpa permit.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Per. 39B Peraturan Imigresen kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukkan dadah dalam badan.
“Kesemua individu akan direman dan proses penahanan masih dijalankan manakala pihak polis juga sedang memohon bagi pembatalan lesen di kedua-dua premis daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya. – UTUSAN