470 pingat untuk direbut dalam Kejohanan Olahraga MSSM 2023 - Utusan Malaysia

470 pingat untuk direbut dalam Kejohanan Olahraga MSSM 2023

DR. Roslan Husin (tiga, dari kanan) memegang sepanduk bersama para pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan ketika meninjau persiapan penganjuran Kejohanan Olahraga MSSM 2023 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 470 pingat bakal menjadi rebutan hampir 1,900 atlet yang akan bersaing dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-63 yang berlangsung di negeri ini selama lima hari mulai 15 Oktober ini.   

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Dr. Roslan Husin berkata, Negeri Sembilan menjadi tuan rumah kepada kejohanan itu tahun ini melibatkan 16 kontinjen dari seluruh negara.

Beliau berkata, dua lokasi menjadi venue kepada 24 jenis sukan yang dipertandingkan iaitu Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan fasiliti di Universiti Sains Islam Malaysia dekat Nilai.

Menurutnya, majlis pembukaan kejohanan itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada pukul 8 malam, 14 Oktober ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

“Kami berbesar hati menerima kedatangan para atlet lelaki dan perempuan yang berusia antara 12 tahun hingga 18 tahun yang bertanding dalam kejohanan ini yang terbesar dalam kalendar sukan kebangsaan bagi peringkat akar umbi. 

“Kami berharap kejohanan ini menjadi platform meraih kejayaan dan pengalaman berguna kepada para atlet,” katanya ketika ditemui para pemberita ketika meninjau persiapan penganjuran kejohanan tersebut di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini.

Roslan menarik perhatian, kejohanan MSSM adalah sangat penting sebagai platform untuk atlet ke peringkat lebih tinggi.

“Sebagai contoh, pelari negara, Muhammad Azeem Fahmi yang meraih gangsa dalam acara 100 meter (m) di Sukan Asia Hangzhou, China baru-baru ini adalah atlet kelahiran MSSM.

“Oleh kerana itu, saya menjemput orang ramai terutamanya para ibu bapa untuk datang dan memberikan sokongan kepada para atlet bersaing dalam kejohanan ini,” ujarnya.

Mengenai acara sukan yang akan dipertandingkan, beliau memberitahu, antara acara padang ialah lempar cakera, lompat tinggi, lompat jauh, lontar peluru, rejam lembing, lompat kijang, lombol bergalah dan tukul besi.

Tambahnya, acara balapan pula melibatkan jalan kaki, larian 100m, 200m, 400m, 1,500m, 4 x 100m, 4 x 200m, 4 x 400m, lari berpagar dan lari berhalangan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya