20,000 saksikan upacara pembukaan kejohanan Olahraga MSSM Ke-63 - Utusan Malaysia

20,000 saksikan upacara pembukaan kejohanan Olahraga MSSM Ke-63

KONTINJEN Negeri Sembilan berarak melintas hormat pada upacara perasmian pembukaan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-63 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, malam tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lebih 20,000 orang membanjiri Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi di sini bagi memeriahkan upacara pembukaan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-63 malam tadi.

Mereka datang dari seluruh pelusuk negara bagi menyaksikan sendiri majlis pembukaan bagi temasya sukan olahraga yang terbesar di peringkat sekolah di negara ini.

Acara itu yang bermula pukul 8 malam telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Nik Nasarudin Mohd. Zawawi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali. 

Acara bermula dengan perbarisan lintas hormat oleh 16 kontinjen dari seluruh negara yang melibatkan 1,021 orang atlet yang bakal bersaing dalam kejohanan berkenaan.

Selepas nyanyian lagu Negaraku yang bergema di stadium tersebut, para atlet dan tetamu telah melafazkan ikrar Rukun Negara.

Aminuddin dalam ucapannya pada majlis itu berkata, kejohanan seumpama itu menjadi wadah untuk memupuk budaya bersukan dan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar sekolah.

“Perjuangan anak-anak ini tidak seharusnya terhenti di kejohanan ini sahaja, sebaliknya perlu digilap sehingga mampu menyinari arena sukan negara hingga ke persada dunia,” katanya.

Ucapan perasmian itu disusuli dengan upacara menyalakan obor kejohanan yang dilakukan oleh pelari pecut negara yang berasal dari negeri ini, Muhammad Haiqal Hanafi dan bekas atlet kebangsaan, Nur Herman Majid.

Negeri Sembilan menjadi tuan rumah kejohanan tahun ini yang berlangsung selama lima hari mulai hari ini

Sebanyak 273 pingat untuk lapan acara padang dan 17 saingan balapan yang dipertandingkan menjadi rebutan para atlet tersebut sepanjang kejohanan berkenaan.

Dua lokasi menjadi venue kejohanan itu iaitu Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan fasiliti di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dekat Nilai.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya