15 peratus projek perumahan kategori sakit, terbengkalai - KPKT - Utusan Malaysia

15 peratus projek perumahan kategori sakit, terbengkalai – KPKT

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR melakukan gimik perasmian dengan menuangkan cecair merah ke dalam bekas berbentuk hati sempena Program Inisiatif Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Sifar Sisa Bersamamu Madani (SSBM) di PPR Desa Mutiara, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kira-kira 15 peratus daripada projek perumahan swasta yang sedang dibangunkan di seluruh negara berada dalam kategori sakit atau terbengkalai.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sesebuah projek perumahan dikategorikan sakit atau terbengkalai apabila lewat siap 24 bulan bagi projek ‘landed’, manakala lewat 36 bulan untuk projek perumahan bertingkat tinggi.

“Jika dilihat statistik hingga Ogos lalu, sebanyak 481 projek dikategorikan sakit, manakala 112 projek dikategorikan terbengkalai. Tetapi dalam masa sama jawatankuasa khas ditubuhkan KPKT telah berjaya selesaikan lebih 200 projek sedemikian, tahun ini.

“Ketika ini, jumlah projek sakit dan terbengkalai mencecah 15 peratus daripada keseluruhan projek yang sedang dibangunkan di seluruh negara. KPKT akan teliti statistik tahun ini untuk membuat unjuran lebih komprehensif bagi mengurangkan peratusan itu.

“Ini bermakna, dalam masa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited selesaikan projek sakit dan terbengkalai yang wujud dahulu, kita juga tidak mahu projek baharu jatuh dalam kategori berkenaan,” katanya selepas merasmikan Program Inisiatif Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Sifar Sisa Bersamamu Madani (SSBM) di PPR Desa Mutiara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse; Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman dan Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed. 

Sementara itu, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut memberitahu, pengumuman Perdana Menteri tentang dana jaminan khas berjumlah RM1 bilion turut diyakini dapat membantu menyelesaikan projek perumahan sakit dan terbengkalai.

“Dengan adanya dana berkenaan, beberapa projek yang berdepan masalah melibatkan kekangan kewangan akan mempunyai ruang baharu untuk diusahakan agar projek itu dapat diselamatkan.

“Namun, penekanan perlu dibuat bahawa tanggungjawab menyiapkan projek sakit dan terbengkalai ini adalah tanggungan pemaju sepenuhnya, bukannya pihak kerajaan. Kita akan pantau dan ikhtiar selamatkan projek bukan untuk lepaskan pemaju tetapi bagi selamatkan pembeli rumah yang terkesan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya