KUANTAN: Polis menahan 12 individu termasuk empat wanita yang dipercayai menjalankan aktiviti mempromosi perjudian secara dalam talian melalui komputer dan telefon bimbit di sebuah rumah di Kubang Buaya di sini, 20 Oktober lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan mendapati rumah sewa yang dijadikan lokasi sindiket itu adalah tempat mempromosikan perjudian melalui aplikasi Telegram dan WeChat sebagai perhubungan dengan pelanggan dari China.
Menurutnya, dipercayai lebih 50 perjudian disediakan oleh sindiket terbabit melalui laman sesawang aktiviti terbabit yang dipromosikan mereka.
“Ketika serbuan, terdapat lapan lelaki dan tiga wanita warga tempatan berusia antara 17 dan 43 tahun di sebuah bilik di tingkat atas. pemeriksaan lanjut di tingkat bawah menemukan seorang wanita warga Indonesia disyaki sebagai tukang masak dan mencuci pakaian mereka.
“Setiap hari mereka akan beroperasi selama 12 jam iaitu bermula pukul 11 pagi hingga 11 malam. Kesemua 12 individu yang ditahan itu tinggal di rumah terbabit dan dibayar antara RM2,000 dan RM6,000 seorang oleh satu sindiket dipercayai berpangkalan di Filipina dan China,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, siasatan awal mendapati, sindiket tersebut mengaut keuntungan sehingga RM30,000 sehari dan setakat ini 37 hari mereka beroperasi dan dipercayai sudah mengaut keuntungan sehingga RM1.11 juta.
“Hasil penahanan itu, sebanyak 280 unit telefon bimbit, 14 komputer riba, 14 keping kad sim, dua set Wi-Fi dan satu modem serta 110 keping kad bank negara China dirampas.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Semua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga esok,” katanya. – UTUSAN