11 rakan didakwa edar lebih 19 kg dadah - Utusan Malaysia

11 rakan didakwa edar lebih 19 kg dadah

LAPAN daripada 11 rakan termasuk dua remaja lelaki antara 11 individu yang dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tiga pertuduhan mengedar dadah pelbagai jenis lebih 19 kilogram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 11 rakan termasuk dua remaja lelaki antara yang dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tiga pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah lebih 19 kilogram (kg), bulan lalu.

Tertuduh ialah Pe Yek Zhu Jie,19, How Jia Lerk, 24, Kenny Loo Yee Han, 24, Tan Chee Seng, 21, Chong Chew Nam, 32, dan Ooi Zhi Wei, 27, serta tiga wanita, iaitu Eva Chua Min, 19, Goh Yoong Cheng, 30, dan Phang Jing Yi, 22, dan dua remaja, masing-masing berusia 17 tahun.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas ketiga-tiga pertuduhan  dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, A. Shaarmini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didapati mengedar dadah jenis methyleneddioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat18.8 kg, ketamin (558 gram) dan nimetazepam (52 gram).

Perbuatan itu dilakukan secara bersama-sama di sebuah rumah di Jalan Bukit Skudai 6, Taman Bukit Skudai kira-kira pukul 2 pagi, 23 September lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B)(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shamira Mohd. Luthfi Ismail, manakala hanya tiga tertuduh diwakili peguam bela, iaitu Chew Nam diwakili Muhammad Mohd. Nasir, manakala Chua Min oleh Datin Freda Sabapathy dan Jia Lerk oleh Chew Pong Him.

Mahkamah menetapkan kesemua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan 2 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN