101 kerja kecemasan luar jangka tangani banjir di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

101 kerja kecemasan luar jangka tangani banjir di Negeri Sembilan

NIK Nazmi Nik Ahmad (tengah) melawat Projek Kerja-Kerja Memulihkan Saliran di Taman Delima dan Taman Anggerik, Rantau, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 101 kerja-kerja kecemasan di luar jangka di Negeri Sembilan ini akan dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan keselamatan harta benda dilindungi daripada bencana banjir.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, secara keseluruhan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan telah diperuntukkan sebanyak RM5 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan kerja-kerja kecemasan tersebut.

Menurutnya, daripada jumlah kerja-kerja kecemasan di luar jangka tersebut, 42 daripadanya telah siap dilaksanakan, 22 lagi dalam pembinaan manakala 37 lagi dalam proses perolehan. 

“Dijangkakan seramai 120,000 penduduk di Negeri Sembilan yang sebelum ini terdedah kepada risiko banjir dapat dilindungi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Kerja-kerja Memulihkan Saliran di Taman Delima dan Taman Anggerik, Mukim Rantau di Rantau, di sini, hari ini.

Jelas Nik Nazmi, projek yang dilawatinya itu melibatkan skop kerja memulihkan tebing Sungai Simin sepanjang 55 meter dan pembaikan longkang outlet dengan kos projek sebanyak RM730,600 menggunakan Peruntukan Pembangunan Persekutuan.

Menurutnya, kerja tersebut telah bermula pada 3 Ogos lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 21 Disember ini.

“Projek ini dijangka dapat memberi manfaat perlindungan daripada risiko kejadian banjir kepada 550 orang penduduk di Taman Delima dan Taman  Anggerik,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi memaklumkan, sebanyak lima projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM200 juta dalam proses pelaksanaan di negeri ini dan jangkaan siap sepenuhnya adalah bergantung kepada saiz projek berkenaan.

Lima projek berkenaan ialah dua di Seremban iaitu RTB Sungai Sungai Batang Labu serta pembangunan lembangan sungai bersepadu Sungai Linggi Fasa 4; pembangunan lembangan sungai bersepadu Sungai Pedas (Rembau); RTB Sungai Raya (Port Dickson) dan RTB Sungai Chempedak (Jelebu).

“Ini projek-projek besar tebatan banjir dan kita juga ada projek-projek berkeutamaan tinggi yang kita percepatkan proses perolehan untuk kita selesaikan isu-isu banjir, ada tiga projek di Negeri Sembilan bernilai RM550 juta.

“Tiga projek berkenaan ialah RTB Sungai Jelai di Kuala Pilah; pembangunan lembangan sungai bersepadu Sungai (Fasa 5); dan RTB Sungai Solok (Port Dickson).

“Kita berusaha sebaik mungkin untuk berdepan daripada projek yang paling besar berkeutamaan tinggi sampailah ke projek-projek yang melibatkan kerja-kerja pembinaan atau penyelenggaraan yang sedikit kecil seperti yang kita lihat hari ini,” katanya.

Menurutnya, bagi projek tebatan banjir itu, kerajaan tidak bersikap diskriminasi kepada mana-mana negeri untuk diberikan keutamaan.

“Kita berpandukan keperluan negeri-negeri tersebut. Mana-mana negeri yang kita tengok berdepan dengan kes-kes banjir yang besar, itu jadi keutamaan kita.

“Memang ada setengah tu keperluan perlu diselesaikan secepat mungkin, (kerana) kos kepada penduduk yang terdedah, kos kepada masyarakat di sana, jadi kita bagi keutamaan. Penilaian di peringkat kerajaan berdasarkan perkara tersebut,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya