KOTA BHARU: Yayasan Bank Rakyat (YBR) sedia membiayai kos ulang kaji seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai di sini selepas mengabdikan diri menjaga kedua-dua ibu bapanya sakit di Kampung Batu Jong, di sini.
Pengurus Besarnya, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, pembiayaan itu bagi memastikan Mohd. Adam Aizad Mazlan, 14, yang sebelum ini kerap kali tidak ke sekolah dapat mengulang kaji semula pelajaran dengan mendapat bimbingan penuh dari guru.
“Kita sedia menanggung kos itu sekiranya ada guru yang berminat untuk membantu. Pada masa sama kita akan berbincang dengan pihak sekolah berkait dengan perkara ini.
“Besar harapan kita supaya Mohd. Adam Aizad tidak lagi ketinggalan dalam pelajaran selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan di sini hari ini.
Terdahulu kisah Mohd. Adam Aizad menjaga ibunya, Rahayu Daud, 49 yang menderita penyakit buah pinggang tahap lima sejak lebih setahun lalu dan pada masa sama turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi sehingga menjejaskan penglihatannya.
Selain itu bapanya, Mazlan Latif, 59, yang merupakan tonggak keluarga sebelum ini diserang angin ahmar sebelah kanan pada Ogos tahun lalu selepas tiba-tiba rebah ketika menjaga ibunya yang sedang sakit di hospital pada ketika itu.
Sementara itu Rohayu menzahirkan rasa bersyukur di atas sumbangan yang diberikan oleh YBR dan menyifatkan ia cukup bermakna buat mereka sekeluarga.
Katanya, segala bantuan yang diterima dari pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan dimanfaatkan sebagai mungkin untuk perubatan dan kegunaan harian.
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu saya dan keluarga selama ini,” ujarnya.-UTUSAN