KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin sasaran membina 500,000 unit Rumah Mampu Milik dalam RMK12 akan tercapai dengan tahun 2022 sebanyak 108, 373 unit rumah tersebut sudah dibina.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu inisiatif penyediaan tempat tinggal secara sewaan kepada golongan yang kurang berkemampuan di kawasan bandar utama yang dilaksanakan di beberapa tempat seperti di Johor dan Selangor akan diperluaskan.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa cakna dalam soal perumahan dan menjadikannya sebagai agenda utama yang tidak boleh dikompromi.
“Kita sedar bahawa harga rumah dan kadar sewa yang semakin meningkat telah membebankan rakyat.
“Saya yakin dengan penglibatan semua sektor awam dan swasta, sasaran kita untuk membina 500,000 unit Rumah Mampu Milik dalam RMK12 akan tercapai. Sehingga akhir tahun 2022, sebanyak 108,373 unit Rumah Mampu Milik telah dibina,” katanya ketika pembentangan Kajian Separuh Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Anwar berkata, projek rintis Perumahan Inklusif Madani akan dibangunkan untuk golongan sasar di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang dengan melibatkan 800 unit rumah pelbagai saiz ruang lantai bagi menampung keperluan golongan sasar yang berbeza.
Katanya, selain itu, tumpuan juga akan diberikan untuk meneroka potensi perkampungan persaraan yang inklusif bagi persediaan menghadapi impak negara menua.- UTUSAN