Vera bingung kenang nasib TRW

Vera bingung kenang nasib TRW

SEORANG penyokong Kelantan FC kelihatan ‘sugul’ selepas pasukan kesayangannya dibelasah seteru setempat Kelantan United 0-7 pada aksi suku akhir pertama Piala Cabaran 2023 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan semalam-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pengendali Kelantan FC, Alfredo Vera terus diselubungi perasaan bingung memikirkan nasib pasukannya selepas dibelasah 0-7 oleh seteru setempat, Kelantan United pada aksi suku akhir pertama Piala Cabaran 2023 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.

Vera berkata, setiap kali beraksi corak permainan The Red Warriors (TRW) tidak berjalan mengikut perancangan apabila hantaran yang dilakukan kurang tepat dan mudah hilang bola.

“Mungkin tidak banyak yang boleh saya perkatakan pada ketika ini. Perkara sama berulang pada setiap perlawanan dan saya tidak tahu apa sebenarnya bermain di fikiran mereka (pemain). Kelihatan bagus semasa latihan tetapi gagal pada perlawanan sebenar.

“Ini bikin saya bingung. Saya tidak boleh ulas apa yang terjadi kerana apa sahaja yang saya perkatakan ketika ini akan kelihatan seperti alasan,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Argentina itu tetap enggan menyalahkan pemain atas apa yang berlaku kerana mereka telah berusaha dan bekerja keras untuk cuba mencari kemenangan.

Katanya, beliau sendiri tidak tahu apa yang bermain di fikiran barisan pemain TRW dan tidak menolak kemungkinan beberapa siri kekalahan besar telah meninggalkan kesan mendalam sehingga mereka gugup apabila berdepan lawan di tengah padang.

“Jujurnya pasukan dan kelab ini sedang berdepan dengan banyak masalah yang tidak boleh didedahkan. Apa yang saya tahu, saya datang dan terima pasukan ini seadanya.

“Saya berusaha untuk membina semula pasukan ini agar dapat bersaing di Liga Malaysia tetapi terjadi pula situasi sebegini. Saya tetah pengang tanggungjawab tetapi saya seru semua pihak untuk turut sama bertanggungjawab ke atas masa depan pasukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan insiden layangan kad merah kepada penjaga gol, Muhammad Irfan Haikal Mohd. Iffendi turut memberi kesan terhadap moral pemain sehingga dibelasah teruk oleh Sang Kijang Hijau.

“Insiden kad merah itu memang memberi kesan kepada pasukan tetapi saya lebih melihatnya sebagai perkara yang menunjukkan kelemahan mental barisan pemain Kelantan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya