KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) bekerjasama dengan sebuah syarikat yang berpusat di China, Mindray dalam membangunkan program Mindray Sonoschool bagi memberi latihan pengajaran dan pembelajaran berkaitan ultrasound.
Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, menerusi kerjasama berkenaan, Mindray turut menyumbangkan hampir RM1 juta untuk pelaksanaan program tersebut di USM, Kubang Kerian di sini.
Menurutnya,sumbangan itu membabitkan empat buah mesin ultrasound bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran termasuk membaik pulih bilik ultrasound di Jabatan Perubatan Kecemasan USM.
“Mindray Sonoschool dibangunkan untuk membantu pelajar Program Doktor Perubatan, Sarjana Perubatan dan subkepakaran memasuki era baharu pembelajaran berkaitan ultrasound seiring perkembangan teknologi terkini.
“Pelaksanaan itu juga dapat membantu menjadikan amalan pendidikan jarak jauh dalam perubatan memandangkan teknologi yang digunakan dapat dilihat secara dalam talian yang lebih cepat dan tepat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian USM – Mindray Sonoschool di Auditorium Jabatan Kecemasan USM di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pergurusan Antarabangsa Mindray, Kurt Xie dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman.
Dr. Shaharum memberitahu, USM juga menjadi perintis dalam memperkenalkan kurikulum berstruktur untuk Point Of Care Ultrasound (POCUS) bagi memastikan kemahiran pemeriksaan ultrasound dalam kalangan pakar dan pegawai perubatan berada pada tahap kompetensi yang optimum.
Katanya, sehingga kini, USM telah melatih hampir 300 pelajar Sarjana Perubatan (Perubatan Kecemasan) yang mempunyai kemahiran dalam bidang POCUS.
“Bermula tahun ini, USM mengorak langkah dengan memperkenalkan POCUS sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran. USM juga menjadi universiti pertama dalam negara ininyang melaksanakan sukatan pelajaran tersebut.
“Selain itu, pasukan POCUS USM turut melancarkan buku POCUS pertama yang menyediakan panduan komprehensif bagi pakar dan pegawai perubatan menggunakan mesin ultrasound.
“Golongan tersebut menjalankan proses ultrasound di tempat pesakit berada atau point of care dan mendapatkan diagnosis selain rawatan lebih tepat,” katanya.-UTUSAN