UMNO Jerantut, Maran bendung 'gelombang hijau' di PRK Pelangai - Utusan Malaysia

UMNO Jerantut, Maran bendung ‘gelombang hijau’ di PRK Pelangai

HARIS SALLEH Hamzah (tengah) bersama penduduk sedang memotong kek Hari Malaysia selepas acara penutupan bulan kemerdekaan di Felda Padang Piol di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: UMNO Bahagian Jerantut dan Maran akan membendung ‘gelombang hijau’ daripada menembusi kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai serta memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), 7 Oktober ini.

Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah berkata, UMNO bahagian itu bersama Maran diamanahkan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri menjaga pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Kemasul di Pelangai.

“Gelombang hijau ini hanya permainan dan persepsi pihak tertentu menerusi media sosial yang skeptikal menggambarkan kekuatan pihak pembangkang, iaitu Perikatan Nasional (PN) ketika berdepan calon BN pada PRK itu nanti.

“Namun, kita tidak boleh menafikan permainan strategi yang mereka (PN) atur secara senyap boleh menggugat atau memberi kesan positif kepada pengundi di DUN Pelangai,” katanya selepas majlis penutupan Bulan Kemerdekaan di Felda Padang Piol di sini hari ini.

Haris Salleh yang juga pengamal undang-undang, berkata, kemenangan PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah antara kubu kuat Pas di negeri tersebut tidak menempias ke kawasan DUN Pelangai kerana senario dan isunya jauh berbeza dengan iklim politik di Pahang.

“Kemungkinan calon lawan BN nanti khususnya PN akan menggunakan isu tempatan seperti mana yang menjadi halwa berkempen mereka ketika dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa UMNO Jerantut termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri termasuk Maran sudah membuat persediaan awal melibatkan penyelarasan bersama dengan kepimpinan masyarakat setempat serta cawangan UMNO Felda Kemasul dalam usaha memperkasakan jentera pilihan raya.

“Kita juga akan memastikan pengundi termasuk orang muda PDM Kemasul dan tempat lain menerusi kempen supaya keluar mengundi lebih awal pada 7 Oktober ini berasaskan pengalaman di beberapa PRK negeri lain melihat peratusan kehadiran yang rendah,” katanya.

Dalam pada itu, Haris Salleh berkata, kesungguhan dan keprihatinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan di setiap tempat DUN Pelangai semata-mata untuk meneruskan kesinambungan legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun sekali gus dapat mengekalkan kemenangan BN di situ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya