KOTA TINGGI: Tiga sahabat maut apabila Perodua Bezza dinaiki.mereka terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 50.1, Lebuhraya Senai-Desaru menghala ke Bandar Penawar, hari ini.
Tiga sahabat itu ialah Iqbal Faiz Mat Sah, 20, Nurul Afrahrina Sazli, 19 ,dan Nurina Izzatie Kamarul Azman, 19, manakala seorang lagi Izznur Harith, 19, mengalami kecederaan parah.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Izwani Abd. Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kemalangan itu pada pukul 1.43 petang.
Seramai 14 anggota dari BBP Penawar dan BBP Pasir Gudang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi usaha menyelamat dalam kemalangan yang melibatkan sembilan mangsa itu.
“Kemalangan itu melibatkan tiga buah kereta, iaitu Perodua Bezza, Toyota Innova dan Volkswagen. Terdapat empat orang mangsa cedera ringan dalam kenderaan Toyota Innova, manakala mangsa menaiki Perodua Bezza tedapat seorang mangsa cedera parah, sementara tiga yang lain disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Pemandu Volkswagen pula selamat. Pasukan operasi bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan, manakala mangsa meninggal diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat pada pukul 3.50 petang. – UTUSAN