PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu keputusan toksikologi tiga beranak ditemukan maut dipercayai bunuh diri di sebuah bilik di pangsapuri di Kampung Ampang Bharu, Ampang di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keputusan toksikologi dijangka keluar dalam masa terdekat bagi mengenal pasti punca kematian seorang wanita dan dua anaknya.
“Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui motif sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan siasatan dijalankan pihaknya bagi mengenal pasti motif kejadian termasuk masalah kewangan.
Khamis lalu, seorang wanita berusia 42 tahun serta dua anaknya masing-masing berusia 15 dan 14 tahun ditemukan dalam sebuah bilik di kediaman di tingkat tiga pangsapuri tersebut pada 7.44 pagi.
Hussein dilaporkan berkata, turut ditemukan arang bersama penyala api diletakkan di bawah sofa bilik itu serta surat wasiat dan wang bercampur.
Malah, katanya, mayat tiga beranak itu ditemukan di dalam bilik tidur pertama dengan pintu dan tingkap bilik ditutup rapat menggunakan pita pelekat.- UTUSAN