TANAH MERAH: Tembelang seorang isteri yang bertindak ‘memadukan’ suaminya terbongkar selepas perkahwinan kedua wanita itu diketahui oleh suami pertamanya.
Susulan itu, Rahaman Mohamed Jaafar, 47, yang merupakan seorang peniaga telah bertindak memfailkan tuntutan faraq nikah di antara isterinya dengan suami kedua.
Menyingkap semula pernikahannya itu Rahaman berkata, dia telah berkahwin dengan isterinya yang berusia 32 tahun itu pada Januari 2019 di Narathiwat, Thailand.
Menurutnya, bagaimanapun isterinya telah menghilangkan diri dari rumah pada Januari tahun sebelum mengetahui isterinya akan berkahwin lain pada April lalu.
“Perkahwinan kami disahkan cukup syarat mengikut hukum syarak oleh Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, pada 6 Jun lalu dan didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.
“Saya mendapat tahu di media sosial bahawa isteri saya akan berkahwin dan perkara itu agak mengejutkan kerana saya tidak pernah menceraikannya dan kami masih suami isteri,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, di sini, hari ini.
Rahaman memberitahu, setelah semakan dilakukan, dia mendapati isterinya telah membuat permohonan untuk berkahwin dengan lelaki lain yang berusia 42 tahun di Mahkamah Syariah Besut, Terengganu pada April lalu.
Katanya, permohonan itu dipercayai dibuat menggunakan surat cerai dengan suami pertamanya iaitu sebelum berkahwin dengannya.
“Saya telah melakukan semakan berkaitan permohonan perkahwinan oleh isteri saya di beberapa tempat sebelum mendapati permohonan tersebut telah dibuat di Mahkamah Syariah Besut, Terengganu.
“Bagaimanapun, saya tidak dimaklumkan bila tarikh sebenar mereka berkahwin,”ujarnya.
Terdahulu, Rahaman hadir di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, di sini, hari ini untuk prosiding keputusan lafaz cerai talak tiga yang difailkan isterinya.
Hakim, Ahmad Hariri Mohd. Saat kemudiannya memberikan tempoh 14 hari kepada Rahman untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan isterinya.
Rahaman bagaimanapun menegaskan, dia tidak pernah membuat lafaz cerai terhadap isterinya dan sehingga kini mereka masih suami isteri.-UTUSAN