Tak perlu cari logo dacing, pangkah sahaja calon nombor 3 - Mohamad - Utusan Malaysia

Tak perlu cari logo dacing, pangkah sahaja calon nombor 3 – Mohamad

MOHAMAD HASAN berucap semasa bertemu dengan jentera parti di PDM Lembah Kempas, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jentera pilihan raya di Parlimen Pulai, khususnya sayap wanita perlu membantu dan mendidik pengundi tegar Barisan Nasional (BN) supaya dapat memberi kemenangan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti tidak mahu mereka terkejut atau tidak tahu perlu memilih calon yang bertanding apabila tiada logo dacing atau nama parti pada kertas undi.

Bagi mengelakkan kekeliruan ini, mereka perlu diingatkan untuk mengundi calon nombor tiga yang merujuk kepada  bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Mereka yang berada di saluran satu ini sudah terbiasa mengundi kotak yang bertanda dacing, tapi PRK ini tiada logo dacing pada kertas undi.

“Untuk memudahkan tanpa menjelaskan panjang secara lebar, ajar mereka untuk mengundi calon nombor tiga, itu lebih mudah,” katanya ketika melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lembah Kempas, di sini.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 23 Julai lalu, seramai 166,653 individu layak mengundi bagi kerusi Parlimen Pulai bagi menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu.

Sementara itu, Menteri Pertahanan meminta jentera UMNO dan BN untuk berjumpa dengan lebih ramai pengundi putih bagi memberi penerangan tentang kepentingan mengundi calon yang mewakili kerajaan perpaduan di Pulai kerana kemenangan itu penting bagi mempertahankan lagi kerajaan yang mempunyai majoriti dua pertiga, sekali gus misi memulihkan ekonomi berjaya.

“Gerakan Jalinan Rakyat oleh Wanita UMNO dengan mengadakan pertemuan dari rumah ke rumah membantu pengundi kita jelas tentang pendirian parti pada PRK ini.

“Bukan setakat itu juga, pengundi juga perlu disantuni. Walaupun mereka nampak tidak menunjukkan minat terhadap politik, ini tidak bermakna mereka tidak tahu soal politik, perlu tekankan pentingnya peranan mereka sebagai pengundi.

“Dengan kemenangan Suhaizan di kerusi Parlimen Pulai, ia membolehkan kerajaan Persekutuan mengekalkan majoriti dua pertiga seterusnya membolehkan kerajaan lebih diyakini pelabur bagi menarik pelaburan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN