ISKANDAR PUTERI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz tidak berhasrat mengosongkan kerusi yang disandangnya kerana merupakan mandat yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac tahun lalu.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menegaskan, selepas dipilih sebagai wakil rakyat, beliau telah berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat Puteri Wangsa dan negeri Johor.
“Isu kerusi ini adalah mandat rakyat yang telah diberikan dan ada yang kata mandat rakyat itu atas tiket PH, tetapi ini adalah janji yang dipersetujui untuk menentang segala bentuk rasuah, kleptokrasi dan salah laku, janji-janji itu saya masih pegang hingga ke hari ini.
“Kalau kita nak katakan perlu kosongkan kerusi kerana membelakangkan janji, siapa yang sepatutnya perlu kosongkan kerusi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengenai desakan beberapa pemimpin daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang mendesaknya dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengosongkan kerusi masing-masing.
Selasa lalu, Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan memberi kata dua kepada Amira Aisya sama ada menyertai Amanah atau meletak jawatan, sekali gus mengosongkan kerusi berkenaan.
Aminolhuda berkata, perkara tersebut perlu dibuat memandangkan kerusi DUN Puteri Wangsa sebelum ini adalah milik Amanah.
Amira Aisya berkata, Aminolhuda perlu ingat asas dan prinsip perjuangan antara Muda dan PH pada ketika itu bukan hanya untuk mendapatkan kerusi semata-mata.
“Kerusi ini milik rakyat dan mereka yang menentukan, tetapi apa yang paling penting adalah janji-janji yang kita berikan kepada rakyat
“Sebab itu bila PRN Johor, kita disebutkan untuk melawan korupsi sama ada di peringkat negeri dan juga Persekutuan. Dalam ucapan saya semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga banyak menyebut untuk komited menghantar Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke penjara.
“Bagi saya tidak bagus sekiranya kita sudah berceramah sebut itu tetapi akhirnya kita sendiri membelakangkan janji kita kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN