Syed Saddiq tak mengenang budi - PH Muar - Utusan Malaysia

Syed Saddiq tak mengenang budi – PH Muar

ABDULLAH SAHID (tiga dari kiri) dan beberapa pemimpin PH pada sidang media menolak Syed Saddiq di Bee Rich, Muar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR:  Tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan disifatkan sebagai tidak mengenang budi kepada pengundi, khususnya penyokong Pakatan Harapan (PH) di sini.

Setiausaha PH Muar, Abdullah Sahid berkata, tindakan itu juga umpama kacang lupakan kulit  terhadap apa yang telah diberikan para pengundi PH ketika beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah, keputusan Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu jelas mengkhianati mandat rakyat di Muar yang telah menatangnya dengan sepenuh hati walaupun menyedari beliau bukan orang tempatan, namun diberikan ruang dan peluang untuk menjadi calon pada pilihan raya itu. 

“Pada saat negara memerlukan kestabilan politik bagi memperbaiki kerosakan yg telah berlaku, Muda sanggup mengambil jalan seperti pihak pembangkang yang berpolitik dan menggugat kestabilan negara demi kepentingan peribadi.

“Isu DNAA (Discharge Not Amounting to Acquittal) Presiden UMNO hanyalah semata-mata alasan politik separa matang yang dijadikan alasan yang hipokrit oleh Syed Saddiq bagi merasionalkan tindakan politik yang gopoh dan bercelaru,” katanya dalam sidang media di Bee Rich, di sini hari ini. 

Abdullah berkata, Syed Saddiq tidak perlu ragu-ragu mengosongkan kerusi Parlimen Muar sekiranya yakin boleh memenangi semula kerusi ini atas kapasiti Muda.

PH yakin beliau memenangi kerusi Parlimen Muar pada PRU15 bukan atas merit dan kekuatan Muda, tetapi atas dasar sokongan dan dokongan daripada seluruh kekuatan PH di Muar.

“Pengundi Muar bijak memilih, saya yakin mereka memilih bukan kerana Syed Saddiq, tetapi atas Gagasan Reformasi yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PH telah bertapak di Muar sejak 1999.

“Ayuh kita serahkan semula kepada rakyat Muar untuk memilih pemimpin tempatan yang benar-benar membawa aspirasi pengundi Muar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya