KOTA BHARU: Pelantikan ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mempunyai latar belakang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) memberi isyarat atau ‘signal’ bahawa pentadbiran baharu dibawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud sedia memacu Kelantan ke arah lebih maju selepas ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan bukan kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, untuk bergerak ke arah itu menerusi gagasan Kelantan Maju Rakyat Sejahtera barisan pentadbiran perlu mempunyai latar belakang pendidikan STEM.
“Apa yang menarik di Kelantan elemen STEM itu dilengkapkan dengan kehadiran pemimpin dalam kalangan golongan ulamak.
“Saya yakin dan percaya gabungan ini mampu memacu Kelantan ke arah yang lebih baik sekali gus menepati Dasar Membangun Bersama Islam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Semarak Kemerdekaan: STEM @ Merdeka di Perpustakaan Awam Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra memberitahu, pada masa sama pihaknya sedang mengumpulkan ikon-ikon belia dalam semua bidang bagi mewujudkan gelombang kebangkitan belia Kelantan.
Katanya, ia merupakan sebahagian usaha bagi menyatukan dan menyelaraskan persatuan-persatuan belia, sukan dan NGO agar dapat bergerak secara sinergi serta mempunyai halatuju yang jelas.
“Hasil pemerhatian saya dalam dua hingga tiga minggu ini didapati banyak persatuan belia, sukan dan NGO bergerak sendirian tanpa ada satu koordinasi dan halatuju yang jelas.
“Peringkat awal ini merupakan fasa pengumpulan maklumat dan secara umumnya saya melihat banyak perkara perlu dilaksanakan untuk kemajuan belia. Insya-Allah bermula minggu hadapan kita akan mula merancang halatuju jawatankuasa ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau merasakan kemudahan asas dan infrastruktur Perpustakaan Awam Kelantan perlu ditambah baik bagi memberi keselesaan dan seterusnya menarik lebih ramai pengunjung.
“Saya akan berbincang dengan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK), Mohd. Shamsul Baharin Isa dan mengangkat cadangan penambahbaikan kemudahan asas perpustakaan daripada beliau termasuk sistem penghawa dingin.
“Kita akan tengok baki dana bagi tahun ini dan kita akan bantu kerana ini merupakan antara keutamaan yang perlu disegerakan. Kemudahan asas perlu disediakan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan peningkatan infrastruktur dan promosi,” ujarnya.-UTUSAN