SK Taman Permas Jaya 3 juara Kolam Merdeka - Utusan Malaysia

SK Taman Permas Jaya 3 juara Kolam Merdeka

LIMA murid SK Taman Permas Jaya 3 menunjukkan kolam yang muncul johan Pertandingan Kolam Merdeka Peringkat Daerah Pasir Gudang di SK Taman Permas Jaya 3, Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Permas Jaya 3 muncul juara pertandingan menghasilkan Kolam Merdeka peringkat daerah Pasir Gudang, di sini hari ini.

Bertemakan Hari Malaysia, sekolah tersebut berjaya mengalahkan empat buah sekolah lain dalam pertandingan yang diadakan di sekolah berkenaan.

Guru Penyelaras Pertandingan N. Sri Gauri berkata, aspek pengiraan markah diadili oleh guru-guru sekolah yang mengambil bahagian.

Menurutnya, pemarkahan dikira berdasarkan kreativiti, kekemasan, kebersihan, kerjasama dan perpaduan.

“Objektif pertandingan ini untuk mewujudkan semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan murid dan mencungkil bakat mereka.

“Pertandingan ini juga mewujudkan rasa komited dan daya saing antara murid, menyemai semangat kecintaan terhadap warisan tradisional masyarakat Malaysia dan mewujudkan perhubungan baik antara sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di SK Permas Jaya 3.

Sri Gauri berkata, setiap murid yang mengambil bahagian  terdiri daripada pelbagai kaum dan memakai pakaian tradisional masing-masing.

“Misalnya, murid Melayu akan memakai pakaian tradisi kaum India, murid Cina pula memakai baju kurung atau melayu dan murid India akan memakai cheongsam,” jelasnya.

Tempat kedua dimenangi SK Permas Jaya 1 dan ketiga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Permas Jaya, manakala tempat keempat SK Permas Jaya 2, manakala kelima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Hwa.

Pertandingan tersebut dirasmikan oleh Ketua Sektor Pembangunan Bakat Murid Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Nurudin Akmal Darun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN