SEREMBAN: Tindakan menyita motosikal yang ditunggang oleh seorang pekerja p-hailing yang video lelaki itu berjalan kaki sambil menggalas beg penghantaran makanan tular di media sosial adalah bertujuan untuk menjaga keselamatan dirinya serta pengguna jalan raya yang lain.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menerusi kenyataan menjelaskan, tindakan tersebut diambil selepas mendapati pekerja Food Panda tersebut melakukan kesalahan menunggang motosikal semasa Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.
“Pada 12 September 2023, Unit Operasi JPJ Negeri Sembilan telah mengadakan Operasi Statik di Jalan Persiaran Negeri, Nilai bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.
“Sepanjang penguatkuasaan tersebut, pelbagai kesalahan telah dikesan dan diambil tindakan termasuk juga motosikal yang ditunggang oleh pekerja Food Panda tersebut yang melakukan kesalahan menunggang motosikal semasa Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.
“Tindakan menyita motosikal dilakukan atas tujuan menjaga keselamatan penunggang tersebut dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans,” kata kenyataan berkenaan.
Tambah kenyataan tersebut, JPJ sentiasa memandang serius terhadap kesalahan-kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh mereka yang sentiasa mengabaikan undang-undang atau peraturan yang ditetapkan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain.
Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 18 saat yang memaparkan seorang pekerja p-hailing berjalan kaki sambil menggalas beg penghantaran.
Video itu telah membawa pelbagai reaksi pengguna media sosial termasuk bersimpati dengan pekerja p-hailing tersebut.-UTUSAN.