Sekolah wajar diberi pendedahan hadapi risiko pencemaran kimia - Utusan Malaysia

Sekolah wajar diberi pendedahan hadapi risiko pencemaran kimia

KAKITANGAN UTM daripada Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) menjalani Program Latih Amal Kecemasan Radiologikal, di UTM Skudai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Semua sekolah di negeri ini, khususnya di kawasan berisiko berdepan situasi kecemasan seperti di Pasir Gudang wajar diberi pendedahan tentang persediaan menghadapinya.

Pengarah Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mohd. Fa’iz Ahmad berkata, usaha itu penting bagi mengurangkan risiko kematian atau kecederaan apabila sesuatu kejadian kecemasan berlaku.

Malah, beliau berharap program kesedaran itu perlu diwujudkan mengikut zon dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu bekerjasama dengan beberapa pihak, termasuk UTM dalam menjayakannya.

“Pelajar perlu didedahkan dengan pengetahuan asas, khususnya bagi sekolah dalam kawasan industri di Pasir Gudang dan tempat lain yang berisiko berlaku pencemaran bahan kimia. Para pelajar harus tahu tentang sebarang perubahan dan situasi yang berlaku di sekeliling mereka dan cara menyelamatkan diri,” katanya selepas Program Latih Amal Kecemasan Radiologikal di UTM, di sini.

Mohd. Fa’iz berkata, pihak industri juga perlu melakukan perkara sama dengan sentiasa  menambah baik peralatan keselamatan serta kesiapsiagaan masing-masing. 

Katanya, setiap kilang di Pasir Gudang perlu mempunyai pasukan tindakan awal bagi membendung kejadian tidak diingini.

“Pihak industri juga perlu mengadakan sesi dialog bagi memberi didikan, panduan dan penjelasan kepada penduduk setempat sekiranya berlaku apa-apa situasi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Sinaran dan Biokeselamatan) UTM, Dr. Izzaty Ahmad berkata, latih amal itu merupakan respons kendiri sepenuhnya untuk menguji keupayaan kakitangan UTM dalam pengendalian bahan radioaktif.

“Ini juga bagi meningkatkan kompetensi mereka. Tahap kompetensi ini penting dalam memastikan UTM bersiap sedia dengan langkah yang wajar dan sesuai untuk menghadapi sebarang kecederaan radiologikal di UTM,” katanya.

Katanya, UTM selaku pemegang lesen yang menjalankan aktiviti pengajaran dan penyelidikan melibatkan punca radioaktif telah menyediakan Pelan Kecemasan Nuklear dan Radiologikal sejak 3 Februari 2016.

“Pelan ini bertujuan memastikan adanya program kesiapsiagaan semasa berlaku kecemasan radiologi dan garis panduan perlindungan kepada orang awam tentang punca radioaktif yang boleh memudaratkan dan mendatang bahaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya