Saya hentak komunis guna belakang senapang - Awang - Utusan Malaysia

Saya hentak komunis guna belakang senapang – Awang

AWANG DAUD menceritakan pengalamannya membantu membanteras pengganas komunis suatu ketika dahulu selepas menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara di IPK Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Semangat patriotik dan sayangkan negara yang menebal membuatkan Awang Daud nekad menyertai pasukan polis menerusi skuad ‘Special Constabel’ untuk menabur bakti menjaga keamanan kampung di Kota Kechil, Kota Tinggi daripada ancaman komunis suatu ketika dahulu.

Pada ketika itu dia baharu berusia 22 tahun dan menyertai unit berkenaan bersama-sama sepupunya pada tahun 1955 dan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya ialah terlibat dalam satu operasi penyamaran bagi membanteras kegiatan komunis di kampung berkenaan.

“Operasi itu berlaku pada tahun 1957, sebelum kemerdekaan. Saya bersama-sama rakan-rakan diketuai seorang pegawai melakukan tugasan penyamaran di kawasan kediaman penduduk dengan menyapu sampah dan membersihkan kawasan longkang.

“Pada kira-kira pukul 2 pagi hari kelima penyamaran, seorang ketua komunis memasuki kediaman penduduk, sebelum seorang anggota bertindak menembaknya menyebabkan komunis itu cuba melarikan diri.

“Saya terus mengejar sebelum menghentaknya menggunakan bahagian belakang senapang sebanyak dua kali, menyebabkan komunis itu terbunuh di lokasi,” katanya ditemui selepas menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) yang disampaikan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. 

Awang yang kini berusia 88 tahun kemudian menamatkan perkhidmatan pada tahun 1958 sebelum menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meneruskan khidmat baktinya kepada negara.

Sementara itu, balu kepada Allahyarham Hayon Togeh, Fauziah Sulaiman, 72, memberitahu, suaminya meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan selepas empat bulan bersara.

“Dia mula sertai polis selepas isu pergaduhan kaum pada tahun 1969. Saya bertemu dengan dia ketika kami sedang berkhidmat di Bukit Besi, Terengganu,” katanya yang merupakan pesara jururawat.

Dalam istiadat berkenaan, seramai 92 orang menerima PJPN yang terdiri daripada pesara polis, bekas polis, petugas era darurat dan anggota yang masih berkhidmat serta balu atau waris anggota pasukan keselamatan berkenaan.

Kamarul Zaman memberitahu, IPK Johor telah menganugerahkan PJPN kepada 3,381 penerima sejak 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya