TUMPAT: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memperuntukkan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) sebanyak RM600,000 bagi membantu persatuan penduduk di negeri ini untuk membuat persiapan menghadapi bencana.
Ketua Pengarahnya, Mohd. Nawardi Saad berkata, agihan itu melibatkan 60 persatuan penduduk di negeri ini dengan setiap satunya layak menerima RM10,000.
“40 persatuan telah layak menerima peruntukan geran tersebut manakala selebihnya masih lagi dalam peringkat saringan dan pencarian.
“Sehubungan itu, RoS menggalakkan persatuan penduduk kampung mengambil manfaat geran terbabit dan masih memerlukan 10 lagi persatuan bagi menyampaikan peruntukan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas program Kursus Bantuan Awal Kecemasan Di Air (Sungai Kelantan), Pasir Pekan di sini hari ini.
Mohd. Nawardi memberitahu, persatuan penduduk di Kelantan boleh memohon geran tersebut menerusi sistem eROSES.
Katanya, objektif GPKK adalah untuk meningkatkan keselamatan dalam komuniti bagi menggerakkan kegiatan masyarakat dengan bekerjasama dengan agensi kerajaan.
“Di Kelantan pastinya berlaku banjir setiap tahun. Jadi, persatuan penduduk dapat memanfaatkan geran ini untuk persiapan bencana,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan memperuntukan GPPK sebanyak RM20 juta menerusi RoS kepada persatuan penduduk seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peruntukan sebanyak RM20 juta itu boleh memberi manfaat sehingga 2,000 persatuan penduduk yang setiap satunya layak menerima sehingga RM10,000.-UTUSAN