JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai hari ini menjadi ‘durian runtuh’ bagi pengusaha warung yang menyediakan pelbagai menu sarapan.
Roti Canai Warung Agil yang terletak berhadapan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Dato’ Omar Yusuf, Kampung Pasir, di sini tidak putus-putus dikunjungi para pelanggan.
Menurut pengusahanya, Hafidahtul Omar, 36, sejak pukul 6 pagi warungnya sudah sesak dengan kehadiran pelanggan yang mahu mengisi perut sebelum melaksanakan tanggungjawab mengundi.
“Sejak pukul 6 pagi kami sudah menerima pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor.
“Hingga pukul 9 pagi, pelanggan yang hadir tak putus-putus sampai kami tak menang tangan. Malah, kami terpaksa menanak nasi lemak lagi setelah habis awal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain nasi lemak, warung itu turut menjual roti canai, nasi berlauk, soto dan pelbagai menu lain.
Hafidahtul berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga ada yang terpaksa berdiri menunggu pelanggan terdahulu meninggalkan meja makan.
Kemeriahan itu mengingatkannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diadakan pada November lalu dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.
“Memandangkan sambutan meriah ini, kami akan beroperasi lebih lama banding biasa. Biasanya warung ini tutup pada pukul 10 pagi,” katanya.
Warung tersebut sudah beroperasi sejak berpuluhan tahun lalu dan diwarisi daripada orang tuanya. – UTUSAN