Rempuh anggota JPJ: Penunggang motosikal didenda RM5,000 - Utusan Malaysia

Rempuh anggota JPJ: Penunggang motosikal didenda RM5,000

NOR Khairul Azwa Azizi (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini bagi didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan selepas dengan sengaja menghalang tugas penjawat awam dalam kejadian di Lebuhraya Seremban-Port Dickson pada 17 September lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang penunggang motosikal yang sebelum ini ditangkap dan direman selepas merempuh seorang anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson di sini dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Mahkamah Majistret Port Dickson, Uthman Abd. Ghani selepas tertuduh, Nor Khairul Azwa Azizi, 25, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, bekas pengawal keselamatan itu didakwa pada 17 September lalu lebih kurang pukul 11 pagi dengan sengaja telah menghalang tugas penjawat awam iaitu anggota penguatkuasa JPJ daripada menjalankan tugas di lokasi kejadian.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh kemudiannya memohon mahkamah untuk mengurangkan jumlah hukuman denda kerana dia perlu menanggung seorang anak dan isteri yang sedang hamil malah telah diberhentikan kerja oleh majikannya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd. Zainal memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai penjaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatannya serta kepada orang awam agar tidak menghalang penjawat awam yang menjalankan tugas selain mengambil kira kecederaan yang dialami oleh anggota JPJ terlibat.

Majistret kemudian menjatuhkan hukuman denda tersebut dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut, penjara tiga bulan boleh dikenakan terhadapnya.

Sebelum ini media melaporkan kejadian seorang penunggang motosikal merempuh seorang anggota penguatkuasa JPJ, Mohd. Nurhakim Mohd. Razif yang pada ketika itu bertugas dalam operasi sekatan jalan raya di Lebuhraya Seremban-Port Dickson. Video kejadian tersebut turut tular di media sosial.

Akibat rempuhan itu, anggota JPJ berkenaan kemudian telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed memberitahu, tertuduh turut mempunyai lapan rekod membabitkan dadah dan jenayah, selain tidak mempunyai lesen memandu manakala cukai jalan tamat tempoh sejak 2012.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN